Kerajaan Bakal Perkenalkan TV Islam

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini pada peringkat akhir sebelum

melancarkan sebuah saluran televisyen Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Katanya, saluran televisyen itu diyakini akan memberikan satu dimensi baru dalam mendidik masyarakat untuk membangunkan keluarga mengikut landas agama kerana keseluruhan kandungan bersandarkan syariat Islam selain mengambil kira faktor budaya dan tatasusila ketimuran.

"Kerajaan berpandangan saluran yang bakal diperkenalkan itu akan memberi satu pilihan kepada rakyat dengan pengisian dan seluruh bentuk kandungannya mengambil kira faktor budaya ketimuran dan tatasusila dengan aspek syariat dijaga sebaiknya.

"Kita sudah bertemu dan berbincang dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dan beliau telah menyatakan persetujuan dan kini kita dalam proses akhir menyelesaikan beberapa masalah terutamanya dari aspek teknikal seperti frekuensi dan saluran mana ia akan disiarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendakwah Negara dan Pelancaran Radio Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, hari ini.

Beliau berkata, masalah teknikal telah merencatkan usaha kerajaan untuk melancarkan saluran ini secepat mungkin kerana frekuensi yang ada untuk siaran tanpa bayar ketika ini telah penuh dan ini memerlukan beberapa perubahan dilakukan bagi membolehkan saluran tanpa bayar ini dapat diudarakan.

"Kerajaan boleh udarakan saluran tersebut di stesen berbayar tetapi sebaliknya berhasrat seluruh lapisan masyarakat boleh mengikutinya kerana jika berbuat demikian (berbayar) khalayak yang menontonnya akan terbatas," katanya.

Ditanya apakah rancangan keagamaan yang disiarkan ketika ini tidak memenuhi hasrat kerajaan, Jamil Khir berkata jumlah siarannya agak terhad iaitu setakat 10 hingga 18 peratus daripada jumlah kandungan rancangan yang disiarkan mereka.

Katanya, saluran yang bakal dilancarkan ini akan menampilkan keseluruhan kandungan yang mengambil kira aspek tuntutan syarak terutamanya dalam memberikan mesej kepada masyarakt Islam dan bukan Islam.

"Saluran ini juga akan memberikan mereka ruang dan panduan bagaimana membangunkan keluarga kerana nilai-nilai sejagat dan umum yang ada pada Islam asasnya turut boleh diterima masyarakat lain," katanya.

Katanya, nilai dan keindahan yang ada dalam Islam boleh diterima semua orang tetapi yang perlu diutamakan adalah bagaimana hendak mengangkat dan menterjemahkannhya dalam bentuk penyiaran melalui televisyen yang dicadangkan itu.

Saluran TV Islam milik penuh kerajaan itu akan dikendalikan Jakim kerana mereka berpengalaman dalam menerbitkan rancangan bercorak keagamaan selain mempunyai kelengkapan asas untuk mengendalikan sebuah saluran televisyen.

"Semua persiapan asas untuk penerbitan rancangan TV itu telah dibuat manakala Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran (MEP) Jakim juga mempunyai kelengkapan yang diperlukan selain bahagian ini berpengalaman menerbitkan beberapa rancangan seperti Forum Perdana dan Bicara Mufti," katanya.

Berhubung pelancaran Radio Malaysia Jakim (SalamFM), Jamil Khir berkata ia memberikan wadah baru kepada Jakim untuk melebarkan ruang dakwah mereka tetapi ia tetap bergantung kepada kandungan dan cara penyampaian juruhebah ketika mengendalikan rancangan.

Oleh itu, beliau telah meminta Jakim menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantapkan kandungan rancangan.

"Walaupun radio ini berfungsi bermula tengah malam dari 1 hingga 8 pagi tetapi saya saya percaya peminat tetap menantikan sesuatu siaran baru sekiranya isu yang dibicarakan itu berupaya menarik perhatian," katanya.

SalamFM telah memulakan siaran percubaan pada 15 Februari lalu dari Wisma Radio Angkasapuri dan telah ke udara secara rasmi sejak 1 Mac lalu dan berjaya menerbitkan lebih 40 buah rancangan pelbagai bentuk.

Setakat ini SalamFM hanya boleh didengari di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
0 Responses

    About Me

    My photo
    meronta supaya kebenaran terungkai, memujuk supaya keadilan ditegak.. bersama membongkar rahsia, menzahir kebenaran maya..

    sembang maya

    Open your mind

    FOM Ads

    Secret sign that conquer earth

    Secret sign that conquer earth