'Pengganas' laman sesawang

Dikongsi oleh: Mickhail


Terdapat antara 5,500 hingga 6,000 laman sesawang di seluruh dunia yang menyebarkan idea-idea ekstremis.


DUA gadis ini sentiasa melayari Internet untuk memantau panduan menghasilkan bom dan klip-klip video militan Islam yang sedang berlatih.


Nur Azlin Mohamed Yasin meluangkan masa beberapa jam sehari untuk melayari Internet. Namun, dia bukan tipikal anak muda yang ingin mencari maklumat di dunia maya tersebut.

Penganalisis penyelidikan berusia 24 tahun itu sentiasa melayari Internet untuk membaca panduan menghasilkan bom dan klip-klip video militan Islam yang sedang berlatih. Selain itu, dia menonton perbualan para pejuang ekstremis yang mungkin menjadi isyarat untuk melakukan serangan di sesuatu lokasi.

Daripada komputernya, dia memasuki satu dunia di mana golongan muda beragama Islam secara terbuka dan sukarela menawarkan diri untuk memerangi askar-askar gabungan yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan. Mungkin juga, dia mempelajari cara-cara membuat bahan letupan daripada barang-barang harian.

Di sinilah ketua rangkaian pengganas al-Qaeda, Osama bin Laden mendapat penghormatan. Poster-poster tiga pengebom berani mati yang terlibat dalam tragedi pengeboman Bali pada tahun 2002 turut dipaparkan. Paparan wajah pengebom yang telah dikenakan hukuman mati itu merupakan elemen tarikan kepada 'ahli-ahli' baru al-Qaeda.

"Semua perkara ini membimbangkan," kata gadis tersebut dalam satu temu bual AFP. Dia merujuk kepada trend penyebaran idea-idea radikal dalam talian oleh segelintir individu.

Nur Azlin merupakan salah seorang daripada lima penganalisis penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Singapura. Tugasnya adalah memantau laman sesawang pengganas setiap hari untuk memahami sentimen kebencian yang kian meningkat, demi usaha menentang keganasan.

Radikalisasi

Tanpa disedari, kesemua penganalisis itu adalah wanita. Kemahiran kolektif mereka termasuklah pengetahuan dalam bahasa Arab, bahasa Malaysia, bahasa Indonesia dan isu-isu berkaitan geopolitik.

"Setelah duduk seketika di hadapan komputer, berfikir mengenainya dan membuat analisis trend tersebut, tentu sekali anda akan berkata: Oh Tuhanku, perkara ini benar-benar berlaku," kata Nur Azlin yang berkhidmat di Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di sekolah tersebut.

"Anda boleh melihat sendiri proses penyebaran radikalisasi secara terbuka dalam talian," ujarnya.

Menurut para penyelidik yang bertugas di sebuah pejabat kecil di kampus universiti pinggir bandar itu, dianggarkan terdapat 5,500 hingga 6,000 laman sesawang di seluruh dunia yang menyebarkan idea-idea ekstremis.

Nur Azlin pula dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menganalisis laman sesawang di Asia Tenggara, rantau yang menjadi hos kepada organisasi-organisasi terkenal seperti pergerakan Jemaah Islamiyah dan kumpulan Abu Sayyaf yang beroperasi di selatan Filipina.

Dia menganggarkan terdapat sekitar 192 laman sesawang pengganas di rantau itu. Kebanyakannya adalah blog-blog peribadi yang tumbuh bagaikan cendawan sejak awal tahun 2008 apabila aktiviti menulis blog semakin popular.

Singapura yang merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dan pusat kewangan antarabangsa menyifatkan dirinya sebagai sasaran utama serangan pengganas. Misalnya, insiden serangan bom di hotel di Jakarta yang menyasarkan kepada simbol pengaruh barat.


NUR AZLIN bimbang memikirkan reaksi peserta forum yang semakin ganas.


Menteri Dalam Negeri, Wong Kan Seng, memberi amaran bahawa individu-individu yang bersifat radikal telah muncul sebagai satu ancaman baru terhadap keselamatan. Pada tahun 2007, republik itu telah mengumumkan penangkapan lima orang yang disyaki sebagai militan Islam.

Antaranya, pensyarah undang-undang tempatan, Abdul Basheer Abdul Kader. Basheer dituduh merancang melancarkan jihad di Afghanistan selepas mendapat idea-idea radikal daripada Internet.

Apabila Nur Azlin memulakan pemantauan ke atas laman sesawang sebegitu pada awal tahun 2007, kebanyakan kandungannya terdiri daripada artikel-artikel yang mendesak orang Islam supaya menentang penindasan.

Laman sesawang berkenaan selalunya disertakan bersama gambar-gambar tragis. Misalnya, seorang kanak-kanak yang cedera ketika berlakunya serangan kuasa-kuasa asing di Afghanistan atau perbuatan biadap askar Israel di Palestin.

"Lewat tahun 2007, manual untuk menggodam komputer mula muncul di laman-laman sesawang di Asia Tenggara. Kandungan itu telah dimuat turun oleh individu daripada forum-forum dalam talian," ujarnya.

Para peserta forum tersebut sebahagiannya memperkenalkan diri mereka sebagai mahasiswa dari Indonesia dan Malaysia. Mereka mendesak antara satu sama lain untuk menggodam laman sesawang yang dianggap mempromosi pandangan Islam liberal.

"Mulai awal tahun 2008, kami mula melihat panduan-panduan dan video membuat bom," kata Nur Azlin.

Dengan kemunculan panduan tersebut yang diambil daripada laman sesawang berbahasa Arab, reaksi daripada para peserta forum-forum itu semakin ganas. Ini kerana mereka mendorong satu sama lain untuk mengambil tindakan, bukan sekadar menjadi penyokong-penyokong pasif atau golongan yang bersimpati," ujarnya.

Dalam satu pertukaran maklumat, para peserta cuba untuk menganjurkan latihan senjata api. Tetapi ada yang memberitahu, mereka tidak mampu untuk membeli raifal AK-47.

Satu kumpulan yang dikenali sebagai Indonesia Airsoft Mujahideen menawarkan diri untuk mengendalikan latihan menggunakan senapang dan mesin paintball yang digunakan secara luas dalam sesi permainan di syarikat korporat di Asia.

"Mereka akan menyewa tempat yang menjalankan aktiviti bina insan. Mereka mengaplikasikan latihan sebegini buat seketika, sementara masih belum memiliki AK-47," ujar Nur Azlin.

Pengurus pusat itu, Jolene Jerard, 26, menyatakan para penganalisis perlu membuat satu laporan bulanan mengenai penemuan masing-masing.


NUR AZLIN MOHAMED YASIN


Video yang memaparkan keganasan yang dimuat turun kini berdefinisi tinggi dan dirakam secara profesional, berbanding klip-klip sebelum ini yang kabur serta sangat amatur. Semua video itu disimpan dalam satu pangkalan data yang dipercayai menjadi antara koleksi terbesar di Asia Tenggara.

Pusat tersebut turut berkongsi dapatan dan analisis dengan pihak berkuasa berkaitan dan para diplomat luar negara yang berkunjung ke sekolah berkenaan untuk mendapat penerangan.

"Siber domain merupakan salah satu bidang yang sedang diteroka oleh pihak kerajaan. Ia merupakan landskap ancaman yang sentiasa berubah.

"Saya fikir, aspek ini semakin penting. Pihak kerajaan sememangnya berminat untuk mengatasinya dan menyediakan sumber sewajarnya," jelasnya lagi.

p/s: kepada pembaca, analisalah sendiri macam mana orang islam kita bersekutu menentang pejuang Islam kita yang lain.. Pejuang yang berani ini dituduh oleh mereka sebagai pengganas? Jadi, sama-samalah muhasabah balik diri.. tahap manakah keimanan kita sebagai orang islam? Adakah sekadar 'Islam kapal selam'? Ataupun orang islam yang mengejar keredhaan Allah swt?


0 Responses

    About Me

    My photo
    meronta supaya kebenaran terungkai, memujuk supaya keadilan ditegak.. bersama membongkar rahsia, menzahir kebenaran maya..

    sembang maya

    Open your mind

    FOM Ads

    Secret sign that conquer earth

    Secret sign that conquer earth